Ada Orang Kata, PM Tak Malu
SAYA tertarik dengan petikan dari pakar hadis Ibnu Hibban yang pembahas “Aku” tempek (tampal) dalam komen dia (10.40) bila bincang tajuk “Cerita Arul Kanda Untuk Yang Percaya”.
Kata Ibnu Hibban: “Sesungguhnya seseorang apabila bertambah kuat rasa malunya maka ia akan melindungi kehormatannya, mengubur dalam-dalam kejelekannya, dan menyebarkan kebaikan-kebaikannya. Siapa yang hilang rasa malunya, pasti hilang pula kebahagiaannya; siapa yang hilang kebahagiaannya, pasti akan hina dan dibenci oleh manusia; siapa yang dibenci manusia pasti ia akan disakiti; ....Tidak ada obat bagi orang yang tidak memiliki rasa malu; tidak ada rasa malu bagi orang yang tidak memiliki sifat setia; dan tidak ada kesetiaan bagi orang yang tidak memiliki kawan. Siapa yang sedikit rasa malunya, ia akan berbuat sekehendaknya dan berucap apa saja yang disukainya.”
Petikan di atas sangat tepat bila kita bincang sikap Perdana Menteri, (Datuk Seri
Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak.
Ramai pembahas blog ini dan orang yang bersembang dengan saya berkata, Mohd Najib tak ada rasa malu dan bersalah.
Saya rasa tak macam tu. Hanya orang tak siuman, nyanyuk dan terencat akal saja tak ada rasa malu. Manusia berakal pasti ada perasaan malu.
Tapi setelah memerangkap dirinya sendiri dengan 1MDB dan SRC International serta “derma Arab” RM2.6 bilion, dia tak ada pilihan melainkan buat muka tebal dan tunjuk berani.
Kita tak boleh salahkan dia. Kita pun salah juga. Kitalah yang takut-nakutkan dia.
Ada yang kata sumbat dia dalam penjara.
Sebab itulah saya rela kena kutuk dan kena caci dengan buat cadangan agar kita bagi dia “laluan selamat” (safe passage) untuk berundur tanpa ancaman tangkap, bicara dan penjara.
Mustahil Mohd Najib tak rasa malu |
Ada sumber yang rapat dengan orang yang akrab dengan Mohd Najib kata, Perdana Menteri “sedia” menimbangkan cadangan itu tapi ada kuasa yang lebih kuat daripada dia yang nak lawan dan yakin menang.
Masakan Mohd Najib Tak Malu?
Saya yakin dia malu dan takut sebab dia tahu tindakan dia salah.
Kalau dia tak takut, tak malu dan tak ada apa-apa nak disembunyi, pasal apa tarik diri daripada dialog “Nothing2Hide” di PWTC pada 5 Jun lalu?
Malah mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang akan dibuat di Parlimen esok pun adalah contoh rasa malu dan takut beliau.
Mengapa di Bangunan Parlimen tidak di Menara Tun Hussein? (Tidak sesuai Bangunan Parlimen digunakan untuk kegiatan politik parti. Alasan Parlimen bersidang dan ramai ahli MT adalah Ahli Parlimen remeh.
Mengapa mesyuarat itu dipercepatkan daripada 27 November kepada 24 November?
Adakah kerana hendak ambil kesempatan daripada ketidakberadaan Timbalan Presiden, (Tan Sri) Muhyiddin Mohd Yassin, dan Naib Presiden, (Datuk Seri) Shafie Apdal, di dalam negara?
Apakah agenda sulit mereka tak boleh jalan kalau Muhyiddin dan Shafie ada?
Khabar angin kencang mengatakan yang mesyuarat itu akan pecat ahli-ahli yang tentang Mohd Najib, termasuk Tun Dr Mahathir. Saya tak jangka mereka bodoh sangat sampai nak pecat Dr Mahathir. Nak keluarkan surat tunjuk sebab pun rasanya susah. Tapi orang tersepit akan buat apa saja.
Ada sumber kata, mesyuarat itu tak dibuat di Menara Tun Hussein kerana tak mahu libatkan ibu pejabat. Apa pasal macam itu? Saya tak faham.
Atau boleh jadi juga ada bomoh, sami, tukang tilik dan pawang buaya kata jangan dibuat di Menara Tun Hussein sebab ada tanda-tandanya tak baik?
Satu lagi bukti Mohd Najib malu dan takut ialah pemberhentian sidang akhbar.
Saya bertanya seorang pengarang akhbar Melayu pada 16 November lalu: “Saudara, adakah betul PM tak lagi bagi PC (sidang akhbar) lepas majlis macam dulu? Adakah tanda-tanda dia cuba elak PC?”
Jawabnya: “Both questions betul. Jangan “quote” (petik) saya.”
Mengadakan sidang akhbar dan bercakap kepada wartawan selepas sesuatu majlis adalah tradisi semua PM Malaysia.
Jelas Mohd Najib malu dan takut berdepan dengan wartawan kerana takut diaibkan dengan soalan-soalan yang susah nak jawab macam 1MDB, SRC International, “derma Arab” RM2.6 bilion, besan guna nama ugut pekedai di New York, pemecatan Muhyiddin dan Shafie, saman ke atasnya oleh Anina Saaduddin, kegagalan dia memulakan saman ke Wall Street Journal dan banyak lagi soalan-soalan sensasi.
Lagi pun, masakan dia tak malu? Dia bukan anak buluh betung atau anak orang tanpa nama macam kebanyakan kita. Dia anak Tun Abdul Razak dan cucu (Tan Sri) Mohammad Noah Omar aka Noh Beirut. Abdul Razak Perdana Menteri dan Mohammad Noah Speaker pertama Dewan Rakyat.
Masalahnya, sama ada Mohd Najib malu atau tidak, takut atau berani tak bermakna lagi. Dia sudah hilang kewibawaan. Majoriti rakyat jelata dah tak yakin lagi kepada dia. Dunia pula makin skeptikal.
Sebelum skandal 1MDB meletup, dunia luar sudah pun anggap rasuah di negara kita teruk. Sekarang dengan skandal 1MDB yang babitkan Perdana Menteri sendiri, tak hairanlah kalau dunia percaya kita memang korup.
Kajian rasuah Asia-Pasifik 2013 oleh firma audit antarabangsa Ernst & Young mendapati Malaysia sebagai antara negara paling korup bersama China di dunia.
(Baca di sini)
Kita Pula Berasa Malu
Katakanlah Mohd Najib tak malu dan tak takut. Tapi kita sebagai rakyat Malaysia yang ada agama dan ada nilai moral berasa malu.
Orang asing sudah mula tanya macam mana negara yang ada agama dan yang pemimpinnya bersumpah atas nama Allah boleh lakukan rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa dan berlaku kejam?
Kita perlu rasa takut kerana akibat perbuatan segelintir pembesar kita, keyakinan terhadap ekonomi kita merudum. Pelabur lari dan nilai duit kita jatuh teruk.
Kehidupan kita makin hari makin sempit kerana segala masalah terbeban di bahu kita.
Apakah pembaca dan pembahas tahu bahawa kerajaan telah umumkan penghapusan subsidi ke atas beras jenis ST15 yang dimakan oleh rakyat miskin? Sekarang ia akan dijual pada harga pasaran. Beras ST15 adalah beras tempatan yang mengandungi 15 peratus beras hancur. Ini bermakna tak ada lagi subsidi RM7.50 sekampit.
Satu demi satu jaring keselamatan yang mengelak rakyat jelata, khususnya golongan miskin, jatuh tersepuk ditarik balik kerana kewangan kerajaan makin hari makin lemah, hutang kerajaan dah sampai ke siling dan ekonomi lempap.
Wallahuaklam.
No comments:
Post a Comment