Gerakan menentang Najib wujud dan akan tewas |
Posted on Saturday, November 28 @ 22:58:57 MYT by paktam
Oleh Anuar Mohd Nor
Buat apa sahaja, pemegang kuasa pasti akan berjaya. Buang dan pecat sesiapa yang tidak sehaluan, memecahkan rahsia dalam apa bentuk – korupsi, kes jenayah, kronisme, nepotisme, tindas rakyat dengan kos hidup yang melambung tetapi tetap sama, yang memegang kuasa tetap memegang kuasa dan usaha memperbetulkan pemegang kuasa akan terus terbantut selagi ia berpaut pada politik dalaman.
Ia seperti apa yang dikata, kebenaran itu terletak kepada mereka yang menang dalam perebutan kuasa. Dapat kuasa – segala-galanya betul dan benar.
Inilah hakikat dalam Umno dan sebarang gerakan menjatuhkan kuasa akan menjadi sulit kerana dalam organisasi keramat Melayu ini, semua berpaksi kepada kuasa.
Kuasa pemerintahan dan wang menjadi penentu dalam apa bentuk termasuk penilaian kebenaran dan keadilan. Definisi kebenaran dan keadilan akan tertakluk kepada kuasa dan paling utama adalah kuasa kewangan.Maka dengan itu, tidak akan ada kesalahan dilakukan sekiranya ia dilihat daripada kanta wang.
Akhirnya, benarlah apa yang dikatakan perdana menteri Malaysia yang juga presiden Umno – wang adalah penentu dan segala-galanya berpaksi kepada wang.
Lantas akan kekal beliau sebagai perdana menteri selagi penglihatan – ukuran kebenaran dan keadilan dilihat dari sudut kewangan dan keperluan kewangan.
Tidak akan ada perubahan walau bertimpa-timpa isu menyelubungi Datuk Seri Najib Razak – daripada isu Altantuya, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), isu wang masuk ke akaun peribadi dan segala macam kontradiksi dalam pemerintahannya.
Dalam Umno, ia akan tetap diterima sebagai sesuatu yang boleh diterima kerana ukuran pembelian sokongan adalah wang.
Hari ini, timbalan perdana menteri yang baharu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan ada gerakan mahu menumbangkan kerajaan, yang erti sebenarnya adalah mahu menumbangkan perdana menteri yang juga presiden Umno.
Ini benar, tidak ada rahsia lagi.
Gerakan kecil-kecilan wujud selepas pendedahan dan gesaan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam siri jelajah beliau dalam usaha menolak perdana menteri.
Pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal daripada Kabinet menyemarakkan lagi gerakan tetapi kedua-dua pemimpin yang dipecat itu tidak secara langsung mendesak Najib melepaskan jawatan.
Gerakan ini mula menampakkan perkembangan apabila beberapa ratus ketua cawangan bangkit mendesak Najib melepaskan jawatan.
Maka bertambah ghairahmereka yang mahu Najib berundur bangkit menyatakan hasrat melalui kenyataan media.
Namun sehingga kini, ia terbantut setakat itu sahaja. Perjuangan mereka terus dilihat sebagai percakaran dalam Umno – perebutan tempat dan jawatan, pergeseran politik dalaman dan ini tidak melibatkan rakyat terbanyak. Ini gerakan dalaman politik Umno.
Dan dalam pergeseran ini, ia masih terbantut dengan hasrat segelintir di bawah mahukan Najib melepaskan jawatan sedangkan timbalan presiden Umno masih lagi tidak berganjak dengan alasan – hanya mempersoalkan dan bukan mendesak Najib melepaskan jawatan.
Gerakan yang mahu Najib berundur wujud – dengan cebisan komen di sana sini melalui media alternatif, grup kecil dalam diskusi aplikasi telefon pintar, dengan kutukan dan kritikan pedas terhadap Najib serta kenyataan media, hanya ibarat berbisik dalam kelambu.
Itu semua adalah gerakan politik dalaman yang hanya memberi kesan seketika dan tidak menyeluruh. Gerakan itu akan pudar apabila kepimpinan yang cuba diangkat mereka khususnya Muhyiddin masih pasif dan hanya menyatakan kritikan dalam keselesaan.
Perjuangan itu tidak melimpah sebagai perjuangan rakyat dan hanya akan terikat sebagai satu perjuangan politik yang tidak akan dapat memberi impak besar.
Gerakan mahu menjatuhkan Najib akan terus bersuara dalam keadaan kecil selagi mereka tidak jumpa tunjang besar yang akan mengarahkan perjuangan mereka.
Bagi rakyat pula, ia adalah pergeseran politik dalaman Umno walau rakyat terasa dari banyak sudut kesan kepimpinan Najib dalam peningkatan kos hidup yang ada.
Rakyat masih melihat sama ada mahu terbabit dalam isu memperjuangkan hak rakyat iaitu mendesak Najib undur atas kelemahan pentadbiran tetapi dalam masa yang sama tidak mahu memberi loncatan kepada perjuangan dalaman Umno yang mahu Najib meletakkan jawatan.
Akhirnya keberuntungan masih tetap pada Najib. Kemelut dalam Umno dilihat akan lebih baik dibiarkan selesai Umno dahulu sebelum usaha membantah kerajaan Umno dalam memastikan mereka tumpas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Rakyat yang menyebelahi pembangkang percaya Muhyiddin bukan pejuang rakyat dalam membela nasib rakyat bila berdepan peningkatan kos hidup, rasuah yang menjadi keadaan ekonomi negara terancam dan keadaan penjelasan lain melibatkan kepincangan sistem perundangan dan kepolisan yang semuanya terselongkar daripada kemelut politik Umno.
Bagi pembangkang, itu soal Umno yang boleh membantu dalam menjatuhkannya pada PRU14.
Mereka tunggu dan lihat dalam masa rakyat terpaksa bergelut dengan masalah harian.
Dalam Umno pul, gerakan menjatuhkan Najib semakin hari semakin terasa. Perjuangan mereka terbantut kerana kepimpinan yang cuba diagungkan tidak menunjukkan sikap perjuangan yang mahu dilihat.
Muhyiddin tidak menyeluruh bangkit mengutarakan kepincangan yang berlaku dalam parti dan tindakan Najib dalam isu menerima wang derma dan khususnya masalah 1MDB.
Isu 1MDB seolah-olah dijadikan isu politik dan tidak melimpahkan masalah ini sebagai masalah rakyat.
Maka yang bangkit hanyalah perbalahan teknikal dalam korupsi, kronisme dan nepotisme dalaman Umno. Akhirnya Umno akan tetap kekal sebegitu, apa yang ada hanya akan diikat sebagai gerakan politik dalaman. Hanya akan dikira sebagai perebutan yang tidak akan kekal sebagai perjuangan reformasi dalaman Umno, memperlihatkan pendedahan demi pendedahan tetapi tidak akan ada perubahan.
Mereka yang menerajui gerakan akan sedar kuasa wang dalam sirkulasi politik adalah penting dan gerakan akan pupus dalam keselesaan kepimpinan mereka. Namun jawapan kepada Umno akan hanya kita lihat pada PRU14 nanti apabila apa yang terselongkar hari ini dijadikan modal kenapa rakyat perlu menolak Umno.
|
No comments:
Post a Comment