Sunday, 29 November 2015

Ini Hakikatnya UMNO dan Politik Malaysia

Gerakan menentang Najib wujud dan akan tewas
Posted on Saturday, November 28 @ 22:58:57 MYT by paktam
Oleh Anuar Mohd Nor

Buat apa sahaja, pemegang kuasa pasti akan berjaya. Buang dan pecat sesiapa yang tidak sehaluan, memecahkan rahsia dalam apa bentuk – korupsi, kes jenayah, kronisme, nepotisme, tindas rakyat dengan kos hidup yang melambung tetapi tetap sama, yang memegang kuasa tetap memegang kuasa dan usaha memperbetulkan pemegang kuasa akan terus terbantut selagi ia berpaut pada politik dalaman.


Ia seperti apa yang dikata, kebenaran itu terletak kepada mereka yang menang dalam perebutan kuasa. Dapat kuasa – segala-galanya betul dan benar.
Inilah hakikat dalam Umno dan sebarang gerakan menjatuhkan kuasa akan menjadi sulit kerana dalam organisasi keramat  Melayu ini, semua berpaksi kepada kuasa.
Kuasa pemerintahan dan wang menjadi penentu dalam apa bentuk  termasuk penilaian kebenaran dan keadilan. Definisi kebenaran dan keadilan akan tertakluk kepada kuasa dan paling utama adalah kuasa kewangan.Maka dengan itu, tidak akan ada kesalahan dilakukan sekiranya ia dilihat daripada kanta wang.

Akhirnya, benarlah apa yang dikatakan perdana menteri Malaysia yang juga presiden Umno – wang adalah penentu dan segala-galanya berpaksi kepada wang.
Lantas akan kekal beliau sebagai perdana menteri selagi penglihatan – ukuran kebenaran dan keadilan dilihat dari sudut kewangan dan keperluan kewangan.
Tidak akan ada perubahan walau bertimpa-timpa isu menyelubungi Datuk Seri Najib Razak – daripada isu Altantuya, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), isu wang masuk ke akaun peribadi dan segala macam kontradiksi dalam pemerintahannya.

Dalam Umno, ia akan tetap diterima sebagai sesuatu yang boleh diterima kerana ukuran pembelian sokongan adalah wang.
Hari ini, timbalan perdana menteri yang baharu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan ada gerakan mahu menumbangkan kerajaan, yang erti sebenarnya adalah mahu menumbangkan perdana menteri yang juga presiden Umno.
Ini benar, tidak ada rahsia lagi.
Gerakan kecil-kecilan wujud selepas pendedahan dan gesaan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam siri jelajah beliau dalam usaha menolak perdana menteri.
Pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal daripada Kabinet menyemarakkan lagi gerakan tetapi kedua-dua pemimpin yang dipecat itu tidak secara langsung mendesak Najib melepaskan jawatan.
Gerakan ini mula menampakkan perkembangan apabila beberapa ratus ketua cawangan bangkit mendesak Najib melepaskan jawatan.
Maka bertambah ghairahmereka yang mahu Najib berundur bangkit menyatakan hasrat melalui kenyataan media.

Namun sehingga kini, ia terbantut setakat itu sahaja. Perjuangan mereka terus dilihat sebagai percakaran dalam Umno – perebutan tempat dan jawatan, pergeseran politik dalaman dan ini tidak melibatkan rakyat terbanyak. Ini gerakan dalaman politik Umno.
Dan dalam pergeseran ini, ia masih terbantut dengan hasrat segelintir di bawah mahukan Najib melepaskan jawatan sedangkan timbalan presiden Umno masih lagi tidak berganjak dengan alasan – hanya mempersoalkan dan bukan mendesak Najib melepaskan jawatan.
Gerakan yang mahu Najib berundur wujud – dengan cebisan komen di sana sini melalui media alternatif, grup kecil dalam diskusi aplikasi telefon pintar, dengan kutukan dan kritikan pedas terhadap Najib serta kenyataan media, hanya ibarat berbisik dalam kelambu.

Itu semua adalah gerakan politik dalaman yang hanya memberi kesan seketika dan tidak menyeluruh. Gerakan itu akan pudar apabila kepimpinan yang cuba diangkat mereka khususnya Muhyiddin masih pasif dan hanya menyatakan kritikan dalam keselesaan.
Perjuangan itu tidak melimpah sebagai perjuangan rakyat dan hanya akan terikat sebagai satu perjuangan politik yang tidak akan dapat memberi impak besar.
Gerakan mahu menjatuhkan Najib akan terus bersuara dalam keadaan kecil selagi mereka tidak jumpa tunjang besar yang akan mengarahkan perjuangan mereka.
Bagi rakyat pula, ia adalah pergeseran politik dalaman Umno walau rakyat terasa dari banyak sudut kesan kepimpinan Najib dalam peningkatan kos hidup yang ada.
Rakyat masih melihat sama ada mahu terbabit dalam isu memperjuangkan hak rakyat iaitu mendesak Najib undur atas kelemahan pentadbiran tetapi dalam masa yang sama tidak mahu memberi loncatan kepada perjuangan dalaman Umno yang mahu Najib meletakkan jawatan.

Akhirnya keberuntungan masih tetap pada Najib. Kemelut dalam Umno dilihat akan lebih baik dibiarkan selesai Umno dahulu sebelum usaha membantah kerajaan Umno dalam memastikan mereka tumpas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Rakyat yang menyebelahi pembangkang percaya Muhyiddin bukan pejuang rakyat dalam membela nasib rakyat bila berdepan peningkatan kos hidup, rasuah yang menjadi keadaan ekonomi negara terancam dan keadaan penjelasan lain melibatkan kepincangan sistem perundangan dan kepolisan yang semuanya terselongkar daripada kemelut politik Umno.
Bagi pembangkang, itu soal Umno yang boleh membantu dalam menjatuhkannya pada PRU14.

Mereka tunggu dan lihat dalam masa rakyat terpaksa bergelut dengan masalah harian.
Dalam Umno pul, gerakan menjatuhkan Najib semakin hari semakin terasa. Perjuangan mereka terbantut kerana kepimpinan yang cuba diagungkan tidak menunjukkan sikap perjuangan yang mahu dilihat.

Muhyiddin tidak menyeluruh bangkit mengutarakan kepincangan yang berlaku dalam parti dan tindakan Najib dalam isu menerima wang derma dan khususnya masalah 1MDB.
Isu 1MDB seolah-olah dijadikan isu politik dan tidak melimpahkan masalah ini sebagai masalah rakyat.

Maka yang bangkit hanyalah perbalahan teknikal dalam korupsi, kronisme dan nepotisme dalaman Umno. Akhirnya Umno akan tetap kekal sebegitu, apa yang ada hanya akan diikat sebagai gerakan politik dalaman. Hanya akan dikira sebagai perebutan yang tidak akan kekal sebagai perjuangan reformasi dalaman Umno, memperlihatkan pendedahan demi pendedahan tetapi tidak akan ada perubahan.

Mereka yang menerajui gerakan akan sedar kuasa wang dalam sirkulasi politik adalah penting dan gerakan akan pupus dalam keselesaan kepimpinan mereka. Namun jawapan kepada Umno akan hanya kita lihat pada PRU14 nanti apabila apa yang terselongkar hari ini dijadikan modal kenapa rakyat perlu menolak Umno. 

Saturday, 28 November 2015

Masa Untuk Menyerang

TSMY perlu menyerang sekarang ni, bukan lagi masa untuk bertahan dan merintih. Kerana ruang-ruang untuk mencelah makan mengecil. Kalau TSMY masih bersikap merintih, beliau akan di tinggal bala tentera yang berada dibelakangnya. KCU memerlukan Jeneral untuk menggerak gelombang yang kuat.

Kalau DSMY bersikap merintih ini mengambarkan beliau:

1. Penakut @
2. Penakut bersebab kerana buah guli di pegang oleh Hantu Raya.

Esok 29 November 2015 adalah peluang dan ruang untuk TSMY untuk masuk Gear Auto (D) untuk memacu da menguncangkan Kapal yang menanti saat dan ketika untuk KARAM

Arul Kanda dan 1MDB

ISNIN, NOVEMBER 16, 2015

PENJELASAN ARUL KANDA MEYAKINKAN

 Tidak sia sia mendengar taklimat Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda di PWTC Sabtu lalu. Dewan Tun Hussein Onn penuh dengan 800 hadirin yang mahu melihat kehebatan Arul Kanda yang berani menyahut cabaran Tony Pua untuk berdebat.


 Bukan semua CEO yang berani berdebat dengan orang politik tetapi melihat kefasihan beliau berucap memang beliau yang paling layak berdebat dengan Tony Pua yang hanya fasih berdebat dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya Arul Kanda fasih berdebat dalam dua bahasa.

Penjelasan beliau untuk mengatasi hutang RM42 bilion 1MDB memang meyakinkan. Beliau yang fasih dalam Bahasa Melayu telah menghuraikan satu persatu apa yang akan dilaksanakan oleh 1MDB. Bukan sahaja beliau fasih dalam Bahasa Melayu malah beliau bercakap dalam loghat Kelantan apabila ditanya soalan oleh orang Kelantan.

Isu ini sebenarnya digembar-gemburkan oleh pihak pembangkang dan disambut oleh bekas PM, Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan Najib Razak. Sebab itu Arul Kanda berani berdebat dengan Tony Pua apabila dicabar oleh ahli parlimen DAP itu. Tetapi oleh kerana Tony Pua lebih sayangi jawatannya dalam PAC maka debat itu tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya DAP yang tiada telur memilih ahli parlimen PKR, Rafizi Ramli untuk berdebat dengan Arul.

Tony Pua yang cabar Arul Kanda, Rafizi yang nak berdebat maka buat apa Arul mahu layan Rafizi. Bukan Rafizi yang cabar Arul Kanda berdebat. Majlis itu dibuka kepada orang ramai untuk bertanya soalan tetapi mereka tidak bersedia dengan soalan yang kritikal dan mencabar. Sepatutnya mereka tanya soalan apa kaitan Jho Low dengan 1MDB, benarkah RM2.6 bilion itu duit 1MDB sebaliknya soalan yang ditanya kepada Arul memang soalan kacang.

Yang lucunya ada seorang wanita bertanya dapatkah saya minum kopi dengan anda Arul? Apa motif beliau bertanya soalan seperti itu di khalayak ramai. Secara spontan Arul menjawab nanti saya tanya isteri saya terlebih dahulu sambil disambut gelak ketawa para hadirin.

Ada juga yang berpendapat bahawa majlis penerangan seperti ini dibuka kepada pembangkang supaya mereka faham isu 1MDB. Arul menjawab beliau sedia berdepan dengan sesiapa sahaja selepas selesai kes 1MDB disiasat oleh PAC.

Dalam majlis itu, Arul berkata penjualan Edra Global Energy Bhd tidak akan memberi kesan kepada tarif elektrik.

Menurut beliau, ini kerana bakal pembeli Edra Global Energy harus mengekalkan tarif seperti yang telah dipersetujui di dalam Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA).

"Tarif itu akan 'fixed' (tetap) untuk sepanjang hayat PPA itu. Jadi sesiapa yang beli, tidak boleh menaikkan tarif," katanya.

Penjualan Edra Global Energy adalah sebahagian daripada program rasionalisasi 1MDB yang bertujuan untuk mengurangkan hutang syarikat pelaburan strategik kerajaan berkenaan.

Tiga pembida iaitu dua pembida asing dan satu tempatan, telah disenarai pendek untuk menghantar bidaan mereka bagi membeli Edra Global Energy yang bernilai antara RM16 bilion hingga RM18 bilion.

Mengenai PPA milik 1MDB yang hampir tamat tempoh, beliau berkata hanya satu PPA dengan kapasiti 400 megawatt akan berakhir dalam tempoh terdekat iaitu Januari tahun depan, sementara PPA yang lain masih mempunyai tempoh perjanjian lama.

Jumlah ini jauh lebih rendah berbanding kapasiti penjanaan keseluruhan oleh Edra Global Energy yang berjumlah 5,550 megawatt.

Sementara itu, Arul Kanda berkata selepas proses rasionalisasi, 1MDB masih mempunyai aset bernilai antara RM10 bilion hingga RM12 bilion termasuk pegangan 100 peratus dalam Tun Razak Echange (TRX).

Aset-aset lain yang kekal dimiliki 1MDB ialah 40 peratus pegangan dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd bernilai RM4 bilion hingga RM5 bilion, tanah di Ayer Itam, Pulau Pinang (RM1 bilion) dan Pulau Indah (RM300 juta).

Tuesday, 24 November 2015

Telahan tidak menjadi nyata

Walaupun itu yang di cita kerana ketakutan dari bantahan oleh Cawangan yang makin menjadi tak keruan walaupun masih banyak ampuan yang mengharap habuan.

Detik Hitam Politik UMNO akan tercatat Hari ini

8.00 pg: Peristiwa Hitam akan tercatat dalam sejarah UMNO buat kali ke 2, setelah Catatan Hitam                   pertama dengan pengharaman UMNO.

akan up-date:

10.30 mlm: Ketakutan untuk bersemuka, tercari-cari tarikh yang selesa untuk nyah dari takhta. Tetapi                     terlalu banyak reba yang menghalang  laluan terutama dari Cawangan. Rasa hati terpaksa                    di tahan walau pun hidup dah menjadi tak keruan. Kalau laksana rasa hati pasti di landa                        taufan. Sila haribulan jatuh terkangkang. Maka selamat lagi TYMY dan juga DSSApdal.                      Hanya  yang terpelanting sipolan yang tidak ada bantahan dari Cawangan.

Monday, 23 November 2015

Rakyat Yang Malu

Ada Orang Kata, PM Tak Malu



SAYA tertarik dengan petikan dari pakar hadis Ibnu Hibban yang pembahas “Aku” tempek (tampal) dalam komen dia (10.40) bila bincang tajuk “Cerita Arul Kanda Untuk Yang Percaya”.
  
Kata Ibnu Hibban: “Sesungguhnya seseorang apabila bertambah kuat rasa malunya maka ia akan melindungi kehormatannya, mengubur dalam-dalam kejelekannya, dan menyebarkan kebaikan-kebaikannya. Siapa yang hilang rasa malunya, pasti hilang pula kebahagiaannya; siapa yang hilang kebahagiaannya, pasti akan hina dan dibenci oleh manusia; siapa yang dibenci manusia pasti ia akan disakiti; ....Tidak ada obat bagi orang yang tidak memiliki rasa malu; tidak ada rasa malu bagi orang yang tidak memiliki sifat setia; dan tidak ada kesetiaan bagi orang yang tidak memiliki kawan. Siapa yang sedikit rasa malunya, ia akan berbuat sekehendaknya dan berucap apa saja yang disukainya.”

Petikan di atas sangat tepat bila kita bincang sikap Perdana Menteri, (Datuk Seri 

Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak.
Ramai pembahas blog ini dan orang yang bersembang dengan saya berkata, Mohd Najib tak ada rasa malu dan bersalah.

Saya rasa tak macam tu. Hanya orang tak siuman, nyanyuk dan terencat akal saja tak ada rasa malu. Manusia berakal pasti ada perasaan malu.

Tapi setelah memerangkap dirinya sendiri dengan 1MDB dan SRC International serta “derma Arab” RM2.6 bilion, dia tak ada pilihan melainkan buat muka tebal dan tunjuk berani.

Kita tak boleh salahkan dia. Kita pun salah juga. Kitalah yang takut-nakutkan dia. 

Ada yang kata sumbat dia dalam penjara.

Sebab itulah saya rela kena kutuk dan kena caci dengan buat cadangan agar kita bagi dia “laluan selamat” (safe passage) untuk berundur tanpa ancaman tangkap, bicara dan penjara.
Mustahil Mohd Najib tak rasa malu

Ada sumber yang rapat dengan orang yang akrab dengan Mohd Najib kata, Perdana Menteri “sedia” menimbangkan cadangan itu tapi ada kuasa yang lebih kuat daripada dia yang nak lawan dan yakin menang.

Masakan Mohd Najib Tak Malu?

Saya yakin dia malu dan takut sebab dia tahu tindakan dia salah.
Kalau dia tak takut, tak malu dan tak ada apa-apa nak disembunyi, pasal apa tarik diri daripada dialog “Nothing2Hide” di PWTC pada 5 Jun lalu?

Malah mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang akan dibuat di Parlimen esok pun adalah contoh rasa malu dan takut beliau.

Mengapa di Bangunan Parlimen tidak di Menara Tun Hussein? (Tidak sesuai Bangunan Parlimen digunakan untuk kegiatan politik parti. Alasan Parlimen bersidang dan ramai ahli MT adalah Ahli Parlimen remeh.

Mengapa mesyuarat itu dipercepatkan daripada 27 November kepada 24 November?

Adakah kerana hendak ambil  kesempatan daripada ketidakberadaan Timbalan Presiden, (Tan Sri) Muhyiddin Mohd Yassin, dan Naib Presiden, (Datuk Seri) Shafie Apdal, di dalam negara?

Apakah agenda sulit mereka tak boleh jalan kalau Muhyiddin dan Shafie ada?
Khabar angin kencang mengatakan yang mesyuarat itu akan pecat ahli-ahli yang tentang Mohd Najib, termasuk Tun Dr Mahathir. Saya tak jangka mereka bodoh sangat sampai nak pecat Dr Mahathir. Nak keluarkan surat tunjuk sebab pun rasanya susah. Tapi orang tersepit akan buat apa saja.

Ada sumber kata, mesyuarat itu tak dibuat di Menara Tun Hussein kerana tak mahu libatkan ibu pejabat. Apa pasal macam itu? Saya tak faham.

Atau boleh jadi juga ada bomoh, sami, tukang tilik dan pawang buaya kata jangan dibuat di Menara Tun Hussein sebab ada tanda-tandanya tak baik?

Satu lagi bukti Mohd Najib malu dan takut ialah pemberhentian sidang akhbar. 

Saya bertanya seorang pengarang akhbar Melayu pada 16 November lalu: “Saudara, adakah betul PM tak lagi bagi PC (sidang akhbar) lepas majlis macam dulu? Adakah tanda-tanda dia cuba elak PC?”
Jawabnya: “Both questions betul. Jangan “quote” (petik) saya.”
Mengadakan sidang akhbar dan bercakap kepada wartawan selepas sesuatu majlis adalah tradisi semua PM Malaysia.
Jelas Mohd Najib malu dan takut berdepan dengan wartawan kerana takut diaibkan dengan soalan-soalan yang susah nak jawab macam 1MDB, SRC International, “derma Arab” RM2.6 bilion, besan guna nama ugut pekedai di New York, pemecatan Muhyiddin dan Shafie, saman ke atasnya oleh Anina Saaduddin, kegagalan dia memulakan saman ke Wall Street Journal dan banyak lagi soalan-soalan sensasi.
Lagi pun, masakan dia tak malu? Dia bukan anak buluh betung atau anak orang tanpa nama macam kebanyakan kita. Dia anak Tun Abdul Razak dan cucu (Tan Sri) Mohammad Noah Omar aka Noh Beirut. Abdul Razak Perdana Menteri dan Mohammad Noah Speaker pertama Dewan Rakyat.
Masalahnya, sama ada Mohd Najib malu atau tidak, takut atau berani tak bermakna lagi. Dia sudah hilang kewibawaan. Majoriti rakyat jelata dah tak yakin lagi kepada dia. Dunia pula makin skeptikal.

Sebelum skandal 1MDB meletup, dunia luar sudah pun anggap rasuah di negara kita teruk. Sekarang dengan skandal 1MDB yang babitkan Perdana Menteri sendiri, tak hairanlah kalau dunia percaya kita memang korup.

Kajian rasuah Asia-Pasifik 2013 oleh firma audit antarabangsa Ernst & Young mendapati Malaysia sebagai antara negara paling korup bersama China di dunia. 

(Baca di sini) 

Kita Pula Berasa Malu

Katakanlah Mohd Najib tak malu dan tak takut. Tapi kita sebagai rakyat Malaysia yang ada agama dan ada nilai moral berasa malu.

Orang asing sudah mula tanya macam mana negara yang ada agama dan yang pemimpinnya bersumpah atas nama Allah boleh lakukan rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa dan berlaku kejam?

Kita perlu rasa takut kerana akibat perbuatan segelintir pembesar kita, keyakinan terhadap ekonomi kita merudum. Pelabur lari dan nilai duit kita jatuh teruk.

Kehidupan kita makin hari makin sempit kerana segala masalah terbeban di bahu kita.

Apakah pembaca dan pembahas tahu bahawa kerajaan telah umumkan penghapusan subsidi ke atas beras jenis ST15 yang dimakan oleh rakyat miskin? Sekarang ia akan dijual pada harga pasaran. Beras ST15 adalah beras tempatan yang mengandungi 15 peratus beras hancur. Ini bermakna tak ada lagi subsidi RM7.50 sekampit.

Satu demi satu jaring keselamatan yang mengelak rakyat jelata, khususnya golongan miskin, jatuh tersepuk ditarik balik kerana kewangan kerajaan makin hari makin lemah, hutang kerajaan dah sampai ke siling dan ekonomi lempap.

Wallahuaklam.

Saturday, 21 November 2015

Dari Blog "TUKAR TIUB"

JUMAAT, 20 NOVEMBER 2015


BERZAKAT



BERi DUiT


ZAKAT PADA


AMiL
BUKAN PADA 
JAMiL
-tukartiub.jpg

Saturday, 7 November 2015

Blog; A Kadir Jasin

Hambat Mohd Najib Seberangi Rubicon


A Kadir Jasin 

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ 

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”

SEPERTI Julius Caesar, Emperor Rom, yang membawa bala tenteranya menyeberangi Sungai Rubicon pada tahun 49 SM, kita di Malaysia pun sudah melakukan hal yang sama.



Tetapi janganlah kita berasa terlalu sombong, mendabik dada berkata: “Aku sudah menyeberangi Rubicon.”

Kita terpaksa menyeberangi Rubicon kerana Perdana Menteri, (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak telah terlebih dulu menyeberanginya.

Julius Caesar Menyeberangi Rubicon
Beliaulah menyeberangi Rubicon apabila beliau merujuk kepada kebijaksanaan Bugis yang berbunyi, sekali layar terkembang pantang biduk surut ke pantai.

Dalam bahasa Bugis, "kualleangi tallanga natowalia" atau dalam bahasa Melayu Indonesia, lebih kupilih tenggelam (di lautan) daripada harus kembali lagi (ke pantai)". (Daripada blog http://ila-galigo.blogspot.my).

Oleh sebab sebahagian daripada kita kini menjejaki dan menghambat beliau maka kita juga terpaksa ikut menyeberangi Rubicon.

Kita juga terpaksa mengikrarkan apa yang Julius Caesar ikrarkan apabila tenteranya menyeberangi Rubicon. Kata Caesar: “alea iacta est.” Acuan tekan sudah dituang maka terpaksalah kita menerima bentuknya.

Kita sudah berusaha sedaya upaya mengubah keadaan demi menyelamatkan negara kita berlandaskan kebijaksanaan semasa (conventional wisdom). Tetapi kita gagal kerana Mohd Najib tidak berjuang di atas landasan yang sama.

Conventional wisdom nampaknya tidak ada tempat dalam strategi dan tindak-tanduk beliau. Sebaliknya beliau bertindak di luar konvensyen dan kebijaksanaan semata-mata untuk menyelamatkan diri.

Kita terpaksa akur kepada apa yang sedang berlaku, iaitu sesuatu yang belum pernah kita lalui sejak merdeka pada tahun 1957. Kita bermain bola di atas padang yang tidak rata, pengadilnya berat sebelah dan kedudukan gol diubah-ubah.

Berfikir Secara Tidak Konvensional

Dalam situasi itu, kita perlu memikirkan kemungkinan-kemungkinan berikut:

1. Kita terpaksa akur kepada hakikat bahawa Mohd Najib tidak akan meletakkan jawatan dan kita tidak dapat melakukan apa-apa sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

2. Kita terpaksa menyediakan minda untuk menerima kemungkinan usaha dilakukan untuk menangguhkan PRU sekiranya Mohd Najib dan konco-konco beliau berasa mereka akan kalah.

3. Kita jangan sekali-kali melakukan hal-hal yang boleh dijadikan alasan oleh Mohd Najib dan konco-konco beliau untuk tidak mengadakan PRU.

4. Sekiranya PRU diadakan, kita perlu melihat ke hadapan melepasi Mohd Najib dan hegemoni Umno/Barisan Nasional.

5. Kita perlu melihat ke satu era baru di mana Umno/BN bukan lagi tempat bergantung kerana Umno dan BN di bawah kepemimpinan sekarang tidak lagi terangkum (incusive) dan peduli kepada kepentingan rakyat jelata. Mereka bertindak seolah-olah mereka “lord and master of the universe.”

6. Kita perlu memikirkan politik yang lebih Malaysia, buta warna, berpaksikan kemanusiaan, ketamadunan dan keluhuran Perlembagaan.

7. Dalam masa terdekat, kita juga perlu memikirkan pewujudan gerakan massa non-partisan yang menggabungkan penggiat dan pesara daripada segala aliran - politik, agama, profesional, cendekiawan, usahawan, pesara tentera dan polis, pemimpin pelajar, badan-badan bukan kerajaan dan sesiapa saja yang komited menyelamatkan Malaysia.

8. Kita perlu mempamerkan kepada dunia yang semakin tidak percaya kepada negara kita bahawa kita peduli dan akan melakukan apa saja bagi menyelamatkan negara kita. Insya-Allah.

Nota: Kepada yang berminat memahami lanjut sebab mengapa saya menguar-uarkan gelaranMappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone, sila baca di sini.

Wallahuaklam.

Catatan Sejarah

Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone

10 OCTOBER 2015

Gambar Hiasan dari sini sumbernya
Sedap sungguh gelaran yang tersebut pada tajuk artikel di atas. Sebab itu saya dengan sengaja menjadikannya satu tajuk dalam blog ini sebagai kenang kenangan untuk anak cucu nanti. Juga untuk mendapat sedikit maklumat terhadap dari manakah datangnya gelaran sehebat itu.

Siapakah gerangan manusia yang mendapat gelaran sebegitu rupa, yang sedap disebut, walaupun ada sedikit kesukaran melafazkannya dengan lancar ?

Bagi para pembaca yang peka dengan suasana politik UMNO sekarang juga melibatkan suasana politik pemerintahan keranjaan Malaysia, sudah tentu tahu siapakah orang besar negara kita yang membawa gelaran tersebut.

Antara orang yang amat kerap mengguna dan menyebut gelaran itu setiap kali menulis artikel berkenaan orang yang membawa gelaran itu ialah Dato' A Kadir Jasin di dalam blognya The Scribe A Kadir Jasin.

Itu merupakan antara blog yang paling kerap saya singgah dan baca kerana banyaknya maklumat yang amat berguna untuk hal ehwal semasa di Malaysia. Sejak mengikuti segala penulisannya dari dulu, rumusannya adalah ternyata Dato A Kadir Jasin, walaupun umum tahu kecenderungannya lebih kepada UMNO, tetap menulis dengan penuh etika kewartawanan serta punya integriti dan tidak beremosi.

Kesultanan Gowa

Gelaran sebegitu datangnya daripada Bugis dan punya kaitan dengan para pembesar Bugis ketika zaman kebesaran mereka dahulu. Atau lebih tepat lagi Kerajaan Gowa yang masyarakarnya masih wujud di Indonesia sekarang ini.

Kerajaan Kesultanan Gowa ini merupakan sebuah kerajaan yang wujud pada abad ke-16 di Daerah Sulawesi Selatan. Para penduduknya terdiri daripada orang Melayu dari Suku Makassar.

Perkataan Makassar atau di sebut sebagai 'Mangkasara' dengan lidah Makassar membawa maksud "mereka yang bersifat terbuka".

Suku Makassar terkenal dengan jiwa penakluk. Mereka amat handal di laut dan gemar berperang. Namun begitu, mereka dikenali juga dengan sikap demokratis atau terbuka dalam pemerintahan.

Ada yang mengatakan Suku Bugis adalah sama dengan suku Makassar, tapi ianya tidak dapat dipastikan kerana bahasa Bugis adalah berbeza daripada bahasa Makassar. Dari perbezaan bahasa itu menunjukkan bahawa mereka adalah dua etnik atau suku yang berbeza.

Apa yang pasti, satu masa dahulu, penjajah Belanda amat benci dengan Suku Makassar ini. Di mana saja mereka bertembung dengan armada Belanda, sudah tentu akan diperanginya tanpa sedikitpun rasa gentar. Ia banyak menyusahkan Penjajah Belanda pada ketika itu.

Antara raja Gowa yang terkenal dan mendapat pengktirafan sebagai pahlawan besar di Indonesia adalah Sultan Hasanuddin. Beliau diberikan nama ketika lahir sebagai "Mallombasi Muhammad Bakir Daeng Mattawang Karaeng Bonto Mangape". Sesudah diangkat menjadi Sultan diberikan pula nama "Sultan Hasanuddin Tumenanga Ri Balla Pangkana".

Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone

Apa hubungannya Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone, dengan kerajaan kesultanan Makassar ?.

Menurut tuan punya badan sendiri, ayahnya pada satu ketika (1973) telah membawa beliau melawat ke Gowa. Dalam lawatan itu beliau di bawa melawat ke pusara Sultan Hasanuddin dan di sana ditunjukkan pada salah sebuah pusara lain.

Di bawah pusara itulah bersemadinya seseorang yang bernama Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone, iaitu merupakan putra kepada Raja Gowa ke XVI. Itulah salasilah keturunan orang besar yang sedang kita sebut sekarang ini.

Bagaimana pula orang besar mendapat nama itu sekarang ?

Orang besar kita itu mendapat nama tersebut ketika berziarah balik ke Gowa. Ketika balik itulah dia telah diberikan nama sebagai Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone, sempena mengambil nama neneknya yang disebut tadi.

Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone

Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone itu sekarang sedang mendapat ujian yang amat besar. Baru-baru ini saja kerajaan yang sedang diketuai oleh Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone, mendapat teguran daripada para Sultan di negara kita.

Seingat saya, tidak pernah lagi berlaku di mana berkumpulnya raja-raja Melayu, bermesyuarat dan kemudiannya mengeluarkan satu kenyataan dalam bentuk gesaan memerintahkan agar kerajaan pimpinan sekarang segera selesaikan isu WanEmDiBi.

Rakyat Malaysia negara kita perlu berterima kasih atas keperihatinan para Sultan tersebut yang mungkin dapat merasakan keresahan rakyat dengan segala peristiwa yang mencurigakan berlaku di depan mata.

Saya sendiri betada dalam keadaan konfius dengan apa yang sedang berlaku. Dari segi persepsinya, samada betul atau tidak betul, Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone seeloknya turun saja dari takhta kerana tidak ada lagi kepercayaan rakyat terhadapnya, malah diseluruh dunia, nampaknya (berdasarkan media-media utama dunia).

Tapi itu semua tidak berlaku dan kelihatan Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone adalah seorang yang amat kebal. Ilmu apa yang telah diperturunkan kepadanya agaknya ya?.

Memang hakikatnya rakyat macam tak boleh buat apa-apa. Tun Mahathir yang mengetuai sekelompok para elit yang giat menggesa penurunan Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone, juga menemui jalan buntu.

Persoalan saya cuma satu sahaja, apakah para menteri kabinet kesemuanya daripada spesis tongkol yang tidak nampak  kegusaran dan kepanasan keadaan kucar kacir di negara kita?

Monday, 2 November 2015

Untuk di Kenang

ISNIN, OKTOBER 13, 2008

KERAJAAN RUGI RM800 JUTA BELI EUROCOPTER


Kapt (B) Datuk Zahar Hashim, Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan yang juga Pengerusi Mentari Services Sdn. Bhd, yang merupakan wakil tempatan bagi syarikat Kelowna Flightcraft Limited, Canada kecewa kerana Letter of Intent (LOI) dikeluarkan kepada Eurocopter, dalam membekal 12 unit helikopter baru kepada ATM untuk menggantikan pesawat Nuri.

Dalam suratnya kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertarikh 7 Oktober lalu, Kapt (B) Datuk Zahar menulis bahawa LOI itu dikeluarkan kepada Eurocopter dan ditandatangani oleh seorang pegawai paras menengah di Kementerian Pertahanan dua hari sebelum Najib berpindah ke Kementerian Kewangan.

Menurut seorang bekas KSU Kementerian Pertahanan dan seorang bekas Timbalan KSU Kementerian Kewangan, proses pengeluaran LOI kepada Eurocopter agak luar biasa dan bertentangan dengan prosedur yang telah diamalkan selama ini.

Mereka berpendapat bahawa adalah menakjubkan LOI bagi kontrak yang bermilai melebihi RM2 bilion ditandatangani oleh seorang pegawai kerajaan bertaraf Setiausaha Bahagian dan bukan seorang yang bertaraf Timbalan KSU.

Surat yang disalinankan kepada Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) hairan kerana harga yang ditawarkan oleh Eurocpoter bagi 12 unit helicopter adalah RM2.317 bilion adalah harga yang paling tinggi sedangkan harga yang ditawarkan oleh syarikat sekutunya RM1.452 bilion. Perbezaan harga sebanyak RM865 juta.

Beliau mempertikaikan sama ada Kementerian Pertahanan yang dikendalikan oleh Najib benar-benar bersih dan amanah kerana pembelian Eurocopter berharga hampir RM200 juta satu unit tanpa menemui wakil penjual dan melakukan ujian penerbangan.

Beliau berharap penyakit yang ada di Kementerian Pertahanan tidak merebak pula ke Kementerian Kewangan dan mengakibatkan tsunami kewangan pula menimpa negara.

Beliau juga dalam suratnya itu melahirkan rasa kesal dalam suasana ekonomi dunia sangat muram, kerajaan memilih untuk membeli helicopter yang paling mahal harganya sedangkan ada alternatif yang boleh menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM865 juta.