Tanda Tanya Dakwaan Ke Atas Khairuddin dan Chang
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”
OLEH sebab ada pembesar kontemporari kita sangat bangga dengan asal-usul Jawanya, maka saya mulakan nukilan kali ini dengan mengemukakan tiga “hadangan” bagi orang-orang besar menurut kebijaksanaan orang Jawa.
Pertama, gemrincinging ringgit.
Kedua, gebyaring wentis kuning.
Ketiga, klubuking iwak ono kedung.
Tiga halangan di atas amat tepat dan bermakna dalam konteks apa yang sedang berlaku di negara kita sekarang di mana wang, kuasa dan wanita memainkan peranan penting.
(Datuk Seri) Khairuddin Abu Hassan 53, dan peguam beliau, Matthias Chang Wen Chieh, 65, didakwa melakukan kesalahan itu di lima lokasi, iaitu pejabat Ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Peranchis di Paris, Balai Polis Charing Cross London, United Kingdom, pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern, Balai Polis WaiChan, Hong Kong, dan ibu pejabat polis Cantoment, Singapura - antara 28 Jun hingga 26 Ogos tahun ini.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan (Penal Code) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun. Hari ini, 13 Oktober, Peguam Negara (Tan Sri) Mohamed Apandi Ali, menjelaskan mereka tidak didakwa di bawa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Khairuddin dan Chang Boleh Dedah Dalam Mahkamah |
1. Apakah usaha mendedahkan kemungkaran dan mencari kebenaran mengenai 1MBD dan penglibatan Perdana Menteri (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak adalah mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan negara?
2. Bukankah Khairuddin terlebih dahulu membuat aduan terhadap 1MDB dan Mohd Najib kepada Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia dan kepada Bank Negara Malaysia?
[Berkenaan PDRM, saya sengaja menyebut nama penuhnya kerana saya ingin tahu sama ada ia masih taat dan setia kepada Raja atau itu hanya pada nama saja.]
3. Yang mana lebih berunsur “sabotaj” terhadap sistem perbankan dan kewangan negara – membuat laporan rasmi kepada PDRM, SPRM dan Bank Negara atau menyembunyikan maklumat keluar masuk wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi seseorang dan memberi maklumat palsu kepada Bank Negara?
4. Bagi ramai rakyat jelata, Khairuddin dan Chang adalah syuhada politik (political martyrs).
5. Pendakwaan Khairuddin dan Chang berkemungkinan memperkukuhkan azam agensi-agensi penyiasatan di Singapura, Hong Kong, Switzerland, United Kingdom, Perancis dan Amerika Syarikat menyiasat laporan terhadap 1MDB dan Mohd Najib. Mungkin lebih banyak akaun bank dan aset, termasuk kediaman, akan dibekukan.
6. Malaysia akan terus menjadi bahan persendaan masyarakat antarabangsa yang seterusnya memburukkan lagi ketidakyakinan terhadap pemerintahan dan ekonomi negara.
7. Agensi-agensi nasional dan internasional telah pun menampakkan sikap tidak ambil hirau (disdain) dan tidak yakin dengan tindak-tanduk agensi-agensi Malaysia. Ini terbukti apabila pihak berkuasa mata wang mereka membekukan akaun-akaun berkaitan 1MDB dan Polis Antarabangsa (Interpol) menolak permintaan PDRM agar mengeluarkan waran tangkap ke atas Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown. Polis Thailand pula tidak membenarkan Ketua Polis Negara (Tan Sri) Khalid Abu Bakar menemu bual bekas eksekutif PetroSaudi International (PSI), Xavier Andre Justo.
8. Negara-negara seperti Singapura dan Switzerland serta wilayah berautonomi Hong Kong amat tegas mengenai jenayah rasuah dan pembersihan wang haram (money laundering) manakala Amerika Syarikat sangat tegas terhadap pakatan untuk menipu (conspiracy to defraud).
9. Tindakan Mohamed Apandi merestui tuduhan terhadap Khairuddin dan Chang tetapi pada masa yang sama menolak perakuan pakar (expert recommendation) Bank Negara agar mendakwa 1MDB berkemungkinan memperkukuhkan lagi iltizam pegawai-pegawai SPRM dan Bank Negara serta kakitangan awam lain yang berintegriti untuk tidak tunduk kepada intimidasi.
Keputusan Mohamed Apandi Cetus Tindak Balas |
11. Di arena politik, Umno sudah berpecah kepada dua puak – puak Mohd Najib dan puak Muhyiddin-Shafie. Di peringkat akar umbi pula, kepemimpinan bahagian dan cawangan tidak lagi berani angkat kepala kerana malu diherdik dan dipersendakan oleh ahli-ahli sendiri.
12. Barisan Nasional hanya wujud pada nama. Ramai perwakilan ke Persidangan Agung MCA baru-baru ini secara terbuka menggesa Mohd Najib meletakkan jawatan. MIC lumpuh akibat krisis dalaman. Di Sarawak, parti-parti suku kaum yang membentuk BN negeri mula bersuara mengenai autonomi dan menjauhkan diri daripada krisis pemerintahan pusat. Umno Sabah pun telah berpecah akibat pemecatan Shafie dan penonjolan musuh-musuh politik beliau.
13. Kem Mohd Najib serba salah. Mereka mahu menyingkir atau, setidak-tidaknya pun, meminggirkan Muhyiddin dan Shafie, tetapi tidak berani kerana mereka tidak yakin dengan kekuatan mereka sendiri. Duri dalam daging sudah bernanah.
14. Secara tersirat, pendakwaan terhadap Khairuddin dan Chang adalah “amaran” bahawa sesiapa saja yang membuat laporan rasmi membabitkan 1MDB dan Perdana Menteri berkemungkinan disiasat dan didakwa sebagai pensabotaj.
15. Soalnya, kalau membuat laporan, memberi maklumat dan menyerahkan dokumen kepada PDRM dan SPRM adalah sabotaj, bagaimana pula PDRM dan SPRM hendak mendapatkan kerjasama rakyat jelata dalam usaha mencegah jenayah dan membasmi rasuah?
Natijahnya, di sebalik jargon, slogan dan retorik seperti 1Malaysia, rakyat didahulukan, keterangkuman (inclusivess) dan kesederhanaan (moderate) terselit unsur-unsur ancaman yang mendalam dan menyeluruh.
No comments:
Post a Comment